|
Berita gembira untuk mereka yang berpuasaOleh: ABD AL-RAZZAQ A.MUTHALIB Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui. (al-Baqarah:184).
Sepatutnya, seorang hamba yang tulus imannya dan setia ketaatannya tidak perlu lagi bertanya apakah hikmah dan kelebihan di sebalik perintah Allah ini. Namun, Rasulullah s.a.w. tidak pernah lekang daripada memberi galakan dan motivasi untuk umatnya supaya membuktikan keimanan ini dengan menjalankan perintah Allah dengan penuh sempurna dan mengharapkan balasan yang dijanjikan. Justeru, Baginda s.a.w. memberikan khabar gembira untuk mereka yang berpuasa. Berbahagialah wahai orang yang berpuasa dengan perkhabaran berikut: 1- Puasa sebagai perisai. Di dalam satu hadis, Nabi s.a.w. menganjurkan kepada mereka yang terlalu ingin berkahwin, tetapi tidak mampu, supaya berpuasa. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang berkemampuan untuk kahwin, maka berkahwinlah. Sesungguhnya ia lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya. ( Riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, dengan berpuasa, seseorang itu akan dapat mengelakkan dirinya daripada terjerumus ke kancah maksiat dan perzinaan yang diharamkan. Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa puasa ini menjadi perisai dan penghalang kepada api neraka. Daripada Abu Said al-Khudri berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Tidaklah seseorang hamba yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkannya dengan puasa itu daripada api neraka sejarak tujuh puluh tahun perjalanan. (Riwayat Bukhari dan Muslim). 2- Puasa dapat memasukkan seseorang itu ke dalam syurga. Apabila ibadah puasa ini dapat menjauhkan seseorang itu daripada api neraka, maka ia akan mendekatkannya pula dengan syurga. Daripada Abu Umamah r.a. berkata: Aku pernah bertanya: ``Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang aku dapat masuk syurga dengannya.'' Nabi s.a.w. menjawab: Hendaklah engkau berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya. (Riwayat Nasai, Ibn Hibban dan al-Hakim, dan sanadnya adalah sahih) 3- Ganjaran pahala puasa tiada hadnya. 4- Dua kegembiraan untuk yang berpuasa. 5- Bau dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. Ketiga-tiga kelebihan ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis qudsi yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: bersabda Rasulullah s.a.w.: Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam itu baginya (ganjaran pahala yang ada hadnya), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya, dan puasa itu perisai, dan apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak juga bercakap kasar. Sekiranya ada orang lain yang mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa. Dan demi jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi, untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan; ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya, dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Di dalam hadis qudsi ini, Allah s.w.t. menyatakan bahawa puasa mempunyai ganjaran yang sangat berganda banyaknya berbanding dengan amalan-amalan lain. Jika amalan yang lain dijanjikan ganjaran pahala sehingga tujuh ratus pahala dan lebih, tetapi bagi puasa ini hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Tidak dinyatakan kadar pahalanya. Maka Allah akan menambahkan pahala mengikut kehendak-Nya sehingga mungkin tidak dapat dihitung oleh manusia. Bagi orang yang berpuasa juga akan menikmati dan mengecapi dua kegembiraan; kegembiraan dunia dan kegembiraan akhirat. Bayangkan setelah sehari suntuk seseorang itu menahan diri daripada lapar dan dahaga, lalu tiba saat terbenamnya matahari. Dia dapat menikmati segala juadah bagi menghilangkan lapar dan dahaganya. Inilah kegembiraan di dunia. Ada pun kegembiraan yang lebih besar dan utama adalah tatkala dia bertemu Tuhannya di akhirat kelak. Detik itu, dia akan dapat melihat dan mengecapi segala ganjaran besar yang telah disediakan untuknya sebagai balasan kepada ketaatan yang telah ditunjukkan. Bau mulut orang yang berpuasa juga lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi pada hari akhirat. Ia menjadi tanda bahawa seseorang itu termasuk dalam golongan mereka yang berpuasa semasa di dunia dan dia berhak untuk mendapat segala balasan yang telah dijanjikan. 6. Ar-Rayyan untuk orang yang berpuasa. Ar-Rayyan adalah salah satu pintu syurga. Ia disediakan hanya untuk mereka yang berpuasa. Daripada Sahl bin Said r.a, bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga itu ada satu pintu yang dinamakan ar-Rayyan, orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada Hari Kiamat, tidak akan masuk seorang pun selain daripada mereka (yang berpuasa), apabila telah masuk orang yang berpuasa, pintu ini akan ditutup, maka tidak dapat masuk seorang pun yang lain melalui pintu ini. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Justeru, marilah bersama-sama kita pertingkatkan mutu dan kualiti ibadah puasa kita. Mudah-mudahan objektif ketaqwaan daripada ibadah puasa ini benar-benar dapat dicapai dan dihayati. Janganlah sesekali kita alpa dan lalai untuk bergantung harap kepada redha dan ganjaran istimewa yang dijanjikan untuk mereka yang berpuasa. Wahai orang yang berpuasa, bergembiralah dengan khabar gembira ini. |
| Leave a Comment: |